DPPMS bentuk Jawatankuasa Penasihat Pelaburan

Bantu kenalpasti anggota peniaga berpotensi tinggi, lakarkan strategi pelaburan dan saran suntikan dana bagi tingkatkan skala operasi

oleh FADILAH A.MAJID

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) telah mengambil satu inisiatif baru untuk membantu para peniaga yang menjadi anggotanya meningkatkan perniagaan mereka ke tahap baru yang lebih tinggi. Dalam rangka usaha ini ia telah membentuk sebuah jawatankuasa berprofil tinggi yang akan menyediakan nasihat dalam pelbagai aspek perniagaan kepada para peniaga tersebut.

Jawatankuasa ini terdiri daripada sukarelawan yang merupakan para banker, pengawal kewangan dan eksekutif pelaburan berpengalaman itu juga akan menyediakan bantuan nasihat bagi pembangunan strategi pelaburan keseluruhan DPPMS. IAC, yang dibentuk September lalu, dipengerusikan oleh Encik Noor Imambeck, veteran perbankan yang telah bersara, dengan pengalaman lebih 47 tahun dalam industri perbankan antarabangsa dan setempat. Beliau pernah bertugas di Chicago Bank, Arab Banking Corporation di Singapura dan Bahrain dan Abu Dhabi Islamic Bank di UAE. Beliau dibantu oleh Naib Pengerusi Encik Basheer Buhari, Pengarah Urusan, Ketua Khidmat Pinjaman dan Urusniaga Asia-Pasifik, ING Bank dan mempunyai lebih 38 tahun pengalaman dalam perbankan antarabangsa.

Empat lagi anggota terdiri daripada Encik Hafeez Naim, Pengawal Kewangan bagi syarikat marin pelbagai nasional , Encik Walshalafah Salleh, Pengarah Bahagian Korporat, Asia Tenggara dan Australia, First Abu Dhabi Bank, Cik Mardiana Abdul Aziz, Naib Presiden Kanan, Regulus Advisors, dan Encik Shamir Wahid, Penolong Bendahari DPPMS, yang menjadi penghubung antara anggota IAC dan lembaga pengarah Dewan.

Mengumumkan pembentukan IAC, Presiden DPPMS, Encik Farid Khan berkata, IAC agar memberikan pandangan secara bebas mengenai arah dan strategi pelaburan Dewan dan anggotanya. ‘’Dengan para anggota IAC yang berpengalaman luas, kami yakin akan dapat membantu Dewan dan anggotanya menjadi lebih kukuh dan berkembang pada tahap yang lebih pantas,” ujar Encik Farid.

Pengerusi IAC, Encik Noor berkata, jawatankuasa ini akan menyediakan nasihat pelaburan kepada seramai mungkin anggota Dewan dalam mengembangkan perniagaan ke skala lebih tinggi, yang sebahagian besar adalah syarikat Kecil Dan Sederhana (SME). “Teras dan skop tugas kami termasuk memberikan nasihat kepada anggota Dewan dalam bidang strategi perniagaan dan pelaburan, bekerjasama dengan para penasihat di Pusat SME bagi mengkaji landskap perniagaan anggota dan menggunakan huraian-huraian analisa kewangan terkini untuk menilai potensi mereka dalam mendapatkan suntikan pelaburan bagi meluaskan dan meningkatkan pendapatan niaga,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Encik Noor berkata  IAC hanya akan memberikan nasihat dan saranan strategi pelaburan kepada anggota Dewan. Pelaksanaan pelan dan keputusan akhir akan dibuat oleh para anggota sendiri. “Kami hanya boleh menasihatkan tetapi tidak boleh melibatkan diri dalam melaksanakan strategi yang disarankan. Kejayaan strategi pelaburan itu bergantung kepada para peniaga itu sendiri,’’ tambahnya. Ditanya mengenai sasaran IAC, Encik Noor berkata, “matlamat makro DPPMS untuk membantu 50 anggota Dewan mencecah pendapatan sehingga $1 juta, dan dalam tempoh 10 tahun, membantu 10 syarikat mencapai pendapatan $100 juta,” kata beliau. Berdasarkan tinjauan Dppms terhadap 170 anggota baru -baru Ini , 72 peratus mempunyai pendapatan di bawah $1 juta.

Naib Pengerusinya, Encik Basheer, berkata kejayaan jawatankuasa ini mencapai sasarannya bergantung kepada sejauh mana keterbukaan SME bagi mendapatkan nasihat pelaburan dan bantuan Pusat SME . “SME juga perlu mempunyai kedudukan kewangan sistematik. Para penyuntik dana dan bank menitikberatkan aspek kewangan syarikat sebelum meluluskan bantuan, tambahnya. Mengenai industri fokus IAC, Encik Basheer berkata, mereka akan menawarkan nasihat ini kepada semua anggota Dewan , tanpa mengira industri yang mereka ceburi.

Menambah , Encik Shamir berkata ,IAC juga akan membantu anggota mengenalpasti bantuan pemerintah yang boleh dimanfaatkan untuk terus berkembang. “Kami harap pemerintah akan menyediakan landasan dan membuka jalan bagi syarikat untuk dibantu berkembang.

Selain memberi nasihat pelaburan kepada anggota Dewan, menurut Encik Farid, Dewan juga akan merujukkan terlebih dahulu sebarang pelaburan strategik Dewan kepada IAC. Ini termasuk projek berskala besar seperti Hub Halal yang sedang dirancangkan. Beliau juga berkata sekurang-kurangnya lima  peniaga yang berpotensi telah dikenalpasti.

‘Para anggota yang berpotensi Ini akan digalakkan mengemukakan permohonan mereka apabila permohonan diumumkan kelak’ ‘tambah beliau. DPPMS akan mengumumkan butiran lanjut mengenai borang permohonan Dalam minggu pertama bulan depan.

Para anggota Dewan juga akan berpeluang bertemu dengan anggota IAC dalam satu seminar Celik Kewangan pada 30 Oktober, 2 petang – 5 petang di Royal Palm @ Clarke Quay Central, Tingkat 4.

Sila daftar di bit.ly/smccifinliteracy20

 CARA PERMOHONAN KEPADA IAC

 • Permohonan dibuka untuk semuaanggota pada tarikh yang akan diumumkan tidak lama lagi.

 • Borang permohonan boleh didapatkan menerusi laman DPPMS .

 • Borang harus dihantarkan kepada DPPMS dalam tempoh yang ditetapkan.

 • DPPMS akan memeriksa borang permohonan yang dikemukakan dan memilih SME yang berpotensi bagi sesi penilaian dan mengemukakan kepada Pusat SME (SMEC) sebelum merujuk kepada IAC.

PROSES BANTUAN IAC

 • Penasihat Perniagaan Pusat SME (SMEC) akan membuat penilaian awal – misalnya mengenalpasti keperluan bantuan bagi SME dalam aspek latihan, perundingcara atau sebagainya.

• Profil SME akan dikemukakan kepada IAC bagi penilaian kedua dan SME perlu mengemukakan dokumen-dokumen baru yang relevan.

• IAC meluluskan SME untuk menjalani sesi penilaian seterusnya.

• SME membentangkan pelan kepada anggota IAC dalam sesi penilaian.

• SME akan dinasihatkan tindakan relevan seterusnya dalam bidang utama termasuk kewangan, pelaburan dan sebagainya.

• SME juga akan dirujukkan kepada agensi-agensi pemerintah relevan dan juga geran-geran serta bank yang menyediakan modal untuk mereka meningkatkan skala niaga

 ANGGOTA IAC

1. Pengerusi:

Encik Noor Imambeck

 • Banker pesara

 • Penasihat SMG, Anggota Pakar jawatankuasa dana hartanah Basil

 • Berpengalaman 47 tahun dalam bidang perbankan setempat dan di Timur Tengah

 • Bertanggungjawab dalam membentuk dan menyusun semula divisyen perniagaan pelbagai bank termasuk

 • Abu Dhabi Islamic Bank dan Arab Banking Corporation

 • Bekas Anggota lembaga Pengarah Warees Halal

 • Bekas Presiden Kumpulan Melayu Islam Singapura di UAE.

 • Bekas Pengerusi Pengasas Majlis Perniagaan Singapura di UAE

 2. Naib Pengerusi:

 Encik Basheer Buhari

• Pengarah Urusan, ING Bank

• Ketua khidmat Pinjaman dan Urusniaga, Asia-Pasifik

• Bertanggungjawab bagi mengendalikan semua perniagaan produk pinjaman di rantau Asia-Pasifik

• Menyertai ING di Singapura pada 1994 .

• Bermula di Bank of America sebagai pelatih pengurusan

• 38 tahun pengalaman dalam bidang pinjaman perniagaan

3. Anggota:

 Encik Hafeez Naim

• Pengawal Kewangan bagi syarikat marin pelbagai nasional Eropah

• Mengendalikan operasi kewangan di Asia

• 11 tahun pengalaman dalam bidang kewangan

Encik Walshalafah Salleh

• Pengarah Bahagian Korporat, Asia Tenggara dan Australia, First Abu Dhabi Bank

• 10 tahun pengalaman dalam perbankan dan kewangan

Cik Mardiana Abdul Aziz

• Naib Presiden Kanan, Regulus Advisors

• 12 tahun pengalaman dalam strategi perniagaan, pematuhan kawal selia kewangan dan pelaburan ekuiti swasta.

 4. Pegawai Penghubungan DPPMS:

 Encik Shamir Wahid

• Pengasas Dayn Advisory LLP

• 8 tahun pengalaman dalam perbankan korporat, perbankan Islam dan kini menguruskan perniagaan penasihat pinjaman yang membantu individu serta peniaga untuk mendapatkan kadar pinjaman terbaik dari pelbagai bank dan institusi kewangan.

SEBAB MENYUMBANG : APA KATA ANGGOTA IAC :

“Matlamat saya adalah untuk membantu masyarakat, mendorong mereka untuk berkembang, dan memaparkan bahawa masyarakat kita boleh mencapai kejayaan di persada niaga,” Encik Noor Imambeck

“Setelah lama dalam kerjaya perbankan, sudah tiba masa untuk saya menyumbang kepada masyarakat dengan berkongsi pengalaman dan

 rangkaian hubungan saya. Saya yakin dapat membantu meningkatkan pemahaman kewangan dalam masyarakat peniaga kita,” Encik Basheer Buhari

“Saya merancang meningkatkan kesedaran masyarakat peniaga kita dalam khidmat dan produk-produk kewangan yang boleh digunakan untuk meningkatkan potensi pertumbuhan syarikat. Tumpuan saya adalah pada golongan startup dan juga peniaga muda,” Encik Hafeez Naim

 “Saya ingin menggalakkan peniaga kita untuk mengembangkan dan mewujudkan kekuatan ekonomi dalam masyarakat. Mudah-mudahan dalam jangka panjang, kekuatan ini akan meningkatkan masyarakat kita juga,” Cik Mardiana Abdul Aziz.

Leave a Reply